Maksud ibadah korban
1. Ibadah korban bermaksud; menyembelih binatang ternakan
pada hari raya korban (10 dzulhijjah) dan hari-hari tasyriq (11, 12 & 13
dzulhijjah) dengan niat mendekatkan diri kepada Allah.
2. Masa ibadah korban bermula apabila terbit matahari pada
hari raya korban (10 zulhijjah) dan meninggi sedikit. Namun paling baik
dilewatkan sedikit hingga matahari naik segalah dan selepas selesai solat hari
raya.
Hukum ibadah korban
1. Hukum ibadah korban ialah sunat muakkad. Makruh
meninggalkannya bagi yang mampu. Ibadah sunat ini menjadi wajib jika
dinazarkan.
2. Bagi sebuah keluarga, ibadah korban adalah sunat kifayah,
iaitu digalakkan seorang ahli keluarga melakukan ibadah korban bagi pihak ahli
keluarga yang lain. Abu ‘Ayyub RA menceritakan; “Pada zaman Nabi SAW seorang
lelaki menyembelih korban bagi pihak dirinya dan juga ahli keluarganya”
(Muwatta’ Imam Malik; 1770).
3. Harus melakukan korban untuk orang telah mati atau
meniatkan pahala korban untuknya.
Fadhilah ibadah korban
1. Sabda Nabi SAW; “Tidak ada amalan yang paling disukai
Allah pada hari raya korban melebihi dari menyembelih korban. Binatang korban
akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, kuku-kukunya dan bulu-bulunya”
(Sunan at-Tirmizi; 1496, hasan).
2. Sabda Nabi SAW; “Bagi setiap helai bulu binatang korban
satu kebajikan” (Sunan Ibnu Majah; 3127, dhaif).
Syarat-syarat binatang korban
1. Binatang ternakan yang sah dibuat korban ialah; biri-biri
(berumur genap 1 tahun), kambing (genap 2 tahun), lembu (genap 2 tahun), kerbau
(genap 2 tahun) dan unta (genap 5 tahun).
2. Seekor biri-biri dan kambing hanya untuk seorang. Adapun
lembu, kerbau dan unta harus dikongsi tujuh orang.
2. Disyaratkan binatang tidak cacat dengan nyata. Menurut
hadis; tidak sah korban dengan binatang yang buta sebelah matanya, yang
tempang, yang nyata sakitnya dan yang terlalu kurus (Musnad Ahmad; 18510,
isnadnya soheh).
3. Sunat memilih binatang korban yang paling elok. Lagi
elok, lagi sempurnalah pahalanya.
Perkara yang disunatkan ke atas orang yang melakukan korban
1. Tidak membuang apa-apa rambut/bulu dan kuku dari badannya
sehinggalah selesai korbannya di sembelih (Soheh Muslim; 1977).
2. Menyembelih sendiri korbannya jika mampu. Jika tidak
mampu, sunat melihat binatang korbannya disembelih.
3. Ketika sembelihan dilakukan sunat ia mengucapkan seperti
berikut;
· إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي
وَمَحْيَاي وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ،
لَا شَرِيكَ لَهُ وَبِذَلِكَ
أُمِرْتُ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
· اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنّيْ وَأَهْلِيْ بَيْتِي
“Ya Allah, terimalah korban ini dariku dan dari ahli
keluargaku”.
Cara pengagihan daging korban
1. Wajib sebahagian dari daging korban disedekahkan kepada
fakir miskin dalam keadaan mentah, iaitu sekurang-kurangnya satu kadar yang
dapat dinamakan sedekah (iaitu 1/2 kilo atau 1 kilo).
2. Daging korban harus jika hendak disedekah kesemuanya
kepada fakir miskin. Namun sunat orang yang melakukan korban menikmati sedikit
darinya mengikut sunnah Nabi SAW dan mengambil berkat darinya.
3. Sunat daging korban diagihkan kepada tiga pihak; (1)
Untuk dimakan diri dan ahli keluarga, (2) Disedekahkan kepada fakir miskin, (3)
Dihadiahkan kepada rakan-rakan, jiran tetangga dan sebagainya sekalipun mereka
kaya/berada.
4. Dilarang menjual apa-apa
bahagian dari binatang korban. Ia menghilangkan pahala korban. Termasuk
dilarang ialah memberi upah kepada tukang sembelih atau orang-orang kerja
dengan daging korban. Jika diberikan atas nama hadiah atau sedekah diharuskan.
5. Sebahagian ulamak mengharuskan memberi daging korban
kepada orang kafir yang berbaik dengan orang Islam. Sebahagian ulamak
melarangnya.
No comments:
Post a Comment